Perkembangan GISB HOLDINGS di Istanbul semakin rancak dan menarik. Cafe yang dibuka menjadi medan pertemuan pelancong Malaysia. Indonesia dan lain-lain untuk bertemu dan bersilaturrahim. Khabarnya kedutaan Malaysia juga menghargai usaha GISB HOLDINGS membuka sebuah cafe yang sebegitu hebat di kota Istanbul yang sangat bersejarah. 
 
 
 
Salam ceria,
“Ni hasil kita buka kafe, macam-macam orang datang.” kata Tn Nasir bila Yahya menceritakan lokasi sebenar jasad Saiyidina Abu Ayub Al Ansori. Ia diberitahu oleh seorang kenalan yang datang ke kafe GISB di sini. Patutlah anjang perhatikan ada kumpulan-kumpulan pengunjung maqam, tidak berdoa di maqam, tetapi di sebelah luar. Kata Yahya, ada pintu dan lorong di bawah lantai kami berpijak, agak berdepan dengan maqam terletak tempat sebenar jenazah Saiyidina Abu Ayub RA bersemadi.

Ia terletak di sebuah kompleks dengan beberapa bahagian sedang dibaik pulih. Terdapat berbagai ilustrasi antaranya lukisan Sultan Sulaiman menziarahi maqam Saiyidina Abu Ayub RA. Terdapat masjid yang menarik dan dataran yang selalunya penuh dengan peziarah khususnya di musim cuti. Dataran yang sentiasa dijaga kebersihan itu bertingkat-tingkat dengan disediakan bangku kayu untuk duduk berehat. Di luar pagar pula terdapat deretan kedai‎ yang meriah dengan pelanggan.

Sebenarnya setelah kejayaan Sultan Muhammad Al Fateh membuka Kota Konstatinopel, antara langkah-langkah pertama yang beliau lakukan adalah mencari maqam-maqam para sahabat. Setelah bertemu maka dibangunkan tempat tersebut dan sangat dimuliakan demi memuliakan Nabi Muhammad SAW. Begitulah tradisi semua sultan-sultan Othmaniah. Di maqam Saiyidina Abu Ayub contohnya, dibangunkan sebuah masjid dan kompleks pendidikan. 
 
Pertabalan sultan-sultan Kerajaan Othmaniah juga dijalankan di situ dalam satu majlis simbolik dengan dipakaikan pedang Rasulullah SAW lambang kemuliaan jihad dan pengorbanan mempertahankan Allah dan Rasul. Malah demi kemuliaan Saiyidina Abu Ayub, daerah itu juga dinamakan dengan namanya. Sultan-sultan sentiasa menjadikan program menziarahi maqam Saiyidina Abu Ayub sebagai tradisi menambah kekuatan roh yang diikuti oleh rakyat, generasi demi generasi. 
 
Malah para sultan seolah-olah beratur mengambil giliran, menempah tempat untuk dikebumikan berdekatan dengan maqam beliau. Sekarang korang nampak tak siapa itu Saiyidina Abu Ayub Al Ansori dan betapa hebatnya Sultan Othmaniah yang berjaya mengalahkan Rom tetapi sangat memuliakannya?

Beberapa fakta mengenai Saiyidina Abu Ayub Al Ansari:
1. Seorang sahabat Rasulullah SAW di kalangan orang Ansar.
‎2. Nama sebenarnya ialah Khalid bin Zaid bin Khulaib dari Bani Najjar.
3. Lahir pada tahun 587M kira-kira 16 tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW.
4. Rasulullah SAW tinggal di rumahnya selama 6 bulan semasa mula sampai di Madinah ketika berhijrah setelah unta baginda berhenti di depan‎ rumahnya.
5.Umurnya panjang, ada riwayat menyatakan lebih 80 tahun, ada yang mengatakan lebih 90 tahun umurnya.
6. Oleh kerana lamanya tinggal serumah dengan Rasulullah SAW, beliau sangat memahami hasrat dan cita-cita baginda dalam memperjuangkan Islam. Maka Saiyidina Abu Ayub tidak pernah ketinggalan dalam setiap peperangan bersama Rasulullah SAW, juga di zaman Khulafa‎’ Ar Rashidun dan khalifah selepas mereka.
7. Antara sabda baginda yang membakar semangat juang Saiyidina Abu Ayub‎ ialah:
“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
8. Saiyidina Abu Ayub sentiasa menanti peluang untuk berjihad demi membuktikan kebenaran janji Rasulullah SAW hinggalah beliau berpeluang ‎menyertai pasukan tentera Islam yang diketuai oleh Yazid bin Muawiyah pada tahun 674 Hijrah sedangkan usianya sangat lanjut dan kesihatannya terlalu uzur.
9. Dalam perjalanan ke Kota Konstatinopel, diikat badannya di kuda tunggangan agar tidak jatuh.
10. Ketika Yazid bertanya keperluannya, beliau meminta tentera Islam melajukan pergerakan dan jika beliau mati dalam perjalanan, kebumikan jasadnya pinggir benteng musuh.
11. Bila ditanya tujuannya, Abu Ayub lantas berkata:
“Aku mendengar baginda Rasulullah SAW mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda.“

Inilah kali ke tiga anjang berpeluang menziarahi maqamnya yang mulia. Lebih istimewa ziarah kali ini dapat mengetahui lokasi jasad beliau dengan tepat. Bagaimana lokasi kubur beliau ditentukan? Kita ceritakan dalam post akan datang sebab kami nak buat lawatan terakhir sekitar Istanbul Eropah.

Sekitar Al Fatih, Istanbul.
5.54pm. Mac 20, 2014

Catat Ulasan

 
Top