Tulisan berikut diambil dari blog ASPAN ALIAS
(http://aspanaliasnet.blogspot.com/2014/03/kita-semua-lebih-kecil-dari-habuk-di.html). Ianya adalah buah fikiran Pak Aspan. Pak Lang titipkan di sini sebagai bahan renungan kita bersama.
Kita Semua Lebih Kecil Dari Habuk Di Hujung Tunggul Di Sisi Allah SWT
Anwar Ibrahim berkata beliau merasa sangat ‘disgusted’ dengan pihak yang mengkaitkan beliau dengan kehilangan MH370 kerana hubungan Kapten Zaharie dengan PKR. Anwar marah-marah kerana beliau dikaitkan dengan kehilangan pesawat itu sejak 8hb yang lalu dan itu merupakan percubaan UMNO untuk politik parti kerajaan itu.
Saya bersetuju dengan kenyataan Anwar itu, tetapi betulkah apa yang di sebut oleh Anwar itu? Apa yang saya tahu, saya sendiri mendapat banyak panggilan talipon yang berkata yang kehilangan pesawat itu adalah kehendak Allah kerana kezaliman pihak pemerintah terhadap Anwar. Mereka yang bercakap ini adalah penyokong PKR sendiri yang merasakan isu ini boleh mengaitkan UMNO sebagai pihak yang berdosa kerana memberikan Anwar penghakiman yang tidak betul 11 hari yang lepas.
Malahan ramai penyokong Anwar berkata dan memadankan muka UMJO kerana kononnya mendapat balasan Tuhan dengan begitu cepat setelah tidak berlaku adil terhadap Ketua Pembangkang itu. Tidak ada sesiapa dikalangan pemimpin dan penyokong UMNO yang mempercayai apa yang dikatakan oleh penyokong Anwar itu.
Sememangnya tidak ada kaitan diantara penghakiman terhadap Anwar itu dengan kehilangan peasawat itu. Yang banyak mengaitkan Anwar dengan kehilangan pesawat ini dengan penghakiman terhadap Anwar itu adalah penyokong-penyokongnya sendiri yang kononnya Tuhan telah menyebelahi Anwar dan UMNO sedang menerima hukuman dari Allah swt.
Apa yang diperkatakan oleh Anwar itu tidak benar. Tidak ada siapa dalam UMNO yang membuat andaian yang kehilangan pesawat itu adalah berkaitan dengan ‘kezaliman’ terhadap Anwar. Kata mereka Allah swt sangat murka terhadap UMNO, maka kehilangan MH370 itu adalah petanda yang Anwar adalah dipihak yang benar.
Saya pun tidak faham bagaimana mereka ini tahu yang kehilangan pesawat itu adalah kerana ‘kezaliman’ terhadap Anwar dan UMNO sedang mendapat ‘retributions’ diatas ‘kezaliman’ mereka itu.
Apa yang Anwar perlu lakukan ialah dengan meminta penyokong-penyokongnya berhenti dari membuat andaian buruk ini. Katakan kepada mereka yang tidak ada apa yang mustahil berlaku jika ia kehendak Allah swt. Semuanya adalah kepunyaanNya dan tiada apa satu yang kita punyai. Semuanya di alam ini adalah kepunyaan Allah swt. Apa sahaja boleh berlaku jika ia kehendak Allah swt.
Jika Tuhan berkehendak, ia akan berlaku. Dalam sejarah, tiada siapa yang menjangka yang bumi boleh terbalik kerana noda dan dosa yang dilakukan oleh umat Nabi Lut as yang engkar terhadap seruan Allah swt. Kedegilan umat di zaman Lut as untuk memberhentikan amalan seks diluar tabii semasa itu menyebabkan bumi telah terbalik kerana kemurkaan Allah swt.
Ini bukanlah cerita dari saya tetapi itu adalah sejarah yang telah diketahui umum kepada sesiapa yang mengambil tahu tentang insiden-insiden dan dalil-dalil kemurkaan Tuhan terhadap umatNya yang engkar.
Jadi dalam kita dalam debaran menunggu berita dari pencarian yang sedang dilakukan terhadap MH370 ini, kita juga wajar mengakui dan beriktikad yang semuanya ini adalah kehendak Allah swt.
Jika Tuhan berkendak ia tetap akan berlaku dan tiada apa yang mustahil jika ia dikehendaki berlaku oleh Allah swt yang maha berkuasa dan maha pencipta itu. Bagi kita sebagai hambaNya, kita hanya mampu untuk memanjatkan doa dan bermunajat secara intensif terhadapNya agar terlaksana afa’alNya yang memberikan munafaat terhadap penumpang dan ahli-ahli keluarga mereka.
Kita sedang menyaksikan betapa kerasnya usaha kerajaan untuk mencari pesawat yang hilang dengan 239 orang yang berada di dalamnya dengan menggunakan kaedah yang benar-benar saintifik itu. Pesawat yang begitu besar dan sedang dicari oleh ratusan kapal terbang dan kapal laut yang canggih-canggih teknoloji dan sainsnya ia masih belum dapat dikesan.
Tetapi akhirnya nanti yang menentukan segala-galanya ialah pencipta sains itu sendiri. Sememangnya ada kelihatan kelemahan seperti yang di kritik oleh banyak pihak, tetapi jika PR berjaya menubuhkan kerajaan semasa PRU yang lepas belum tentu lagi pencarian pesawat itu akan terlaksana dengan baik.
Tidak kira samada PKR memerintah negara atau UMNO terus berkuasa, jika Allah berkendak kapal itu hilang terus, atau pesawat itu akan selamat dijumpai dengan semua penumpangnya selamat ia akan terjadi juga.
Kita doakan terus keselamatan pesawat dan mereka yang berada di dalamnya. Mereka perlukan bantuan kita dengan doa-doa yang mustajab dan serahkan kepada Allah swt segala-galanya.
Tiada kena mengena dengan kehebatan politik sesiapa dalam isu ini, kerana manusia tidak kira yang kuat atau yang lemah, yang miskin atau yang kaya, semuanya lebih kecil dari habuk dihujung tunggul di sisi Allah swt.
Catat Ulasan