Banyak perkara tentang agama yang kita tidak memahaminya dengan jelas. Kita hanya sekadar ikut-ikutan dalam memahami dan melaksanakan ajaran agama. Faham pun tidak jelas. Kefahaman islam yang ada sudah bercampur baur dengan ideologi barat dan yahudi. Jika dilihat secara lahirnya sahaja pun Islam yang ada pada kita sudah banyak cacat celanya. 

Apalah yang hendak dipersembahkan kepada Tuhan?  Orang melayu hanya punya budi bahasa. Ianya baik dan mulia tapi sudah tidak didorongkan dengan rasa perlukan Tuhan. Baiknya orang Melayu hanya kerana itulah budaya hidup bangsa yang unik ini. Justeru ianya tidak jadi ibadah di sisi Allah SWT. Hasilnya tentu malang dan sia-sia. 

Tentulah tidak ada nilainya di sisi Tuhan bila seseorang muslim itu hanya taqlid buta atau berbuat sesuatu hanya lebih kurang sahaja. Sedangkan dalam agama, kita diminta menghayatinya dengan serius. Tuhan mensyaratkan kita beragama dengan sesungguh-sungguh hati. Tuhan mengancam kita yang sambil lewa dengan azab siksa neraka. Tuhan janjikan kesenangan syurga yang kekal abadi bagi yang benar-benar punyai rasa takut dan cintakan Allah SW.


Bangsa Melayu hanya bangsa hampas dan tidak berguna jika tidak mengambil Allah dan Rasul sebagai pimpinan hidupnya, keluarganya, bangsa dan negaranya. Bangsa ini kena belajar dari sejarah agung Baginda Nabi Saw. dan para sahabat. Jika Baginda berjaya membina tamadun umat di kalangan bangsa Arab, tentu Bangsa Melayu juga boleh dibina menggunakan kaedah Baginda saw.

Ciri-ciri positif yang ada pada bangsa Melayu sudah banyak. Akhlak dan budi pekerti sudah baik dan elok tapi dalam hati mereka belum rasa perlukan Tuhan. Ramai yang kehilangan Tuhan di dalam hidup mereka. Hidup hanya untuk mengejar dunia, makan minum dan berpeleseran. Jika ada juga yang mahu beragama, akan ketara fahamnya yang cetek, jumud dan kaku. 

Lihat saja hal yang asas bagi wanita iaitu menutup aurat. Trend menutup aurat diikuti mereka tanpa ada niat untuk mentaati Allah. Mereka bertudung kerana trend atau kerana kawan rakan yang semuanya bertudung. Hasilnya mereka bertudung dalam keadaan mendedahkan anggota tubuh yang lain. Bertudung tapi berbaju lengan pendek! Kasihan!!

Lihat pula dari sudut taharah, kesucian atau kebersihan. Berapa banyak masjid dan surau di Malaysia yang sudah tercemar dengan najis yang di'bawa' dari ruang tandas. Para ustaz yang mengajar tidak pernah menyentuh persoalan ini. Sedangkan di masjid tempat mereka berceramah itu - jika mereka sudi menjenguk ke bilik air masjid, mereka akan tahu betapa najis sudah mengenai semua ruang masjid yang besar tersergam indah. Puncanya tiada alas kaki di tandas. Maka siapa saja yang masuk ke tandas akan keluar dalam keadaan tapak kakinya sudah tidak suci atau bernajis. Itulah yang dibawa memijak karpet dan lantai ruang sembahyang. 

Ini baru hal yang asas dari sudut hukum feqah. Belum lagi kita suluh dan perhatikan dari sudut penghayatan rasa. Sangatlah sulit untuk membentuk jiwa yang khusyuk dengan rasa takutkan Tuhan. Sedangkan rasa takut, cemas dan gementar dengan Tuhan itulah yang wajib diusahakan dalam hati kita. Prosesnya mesti dilakukan tanpa henti. Tetapi orang Melayu tidak diproses ke arah rasa yang sebegini, Hasilnya mereka kekal dalam jahil dan lalai. Mereka terus teraba-raba mencari hakikat sebenar peranan hidup sebagai hamba dan khalifah. 

Jika benar-benarlah bangsa ini dibina jiwa raga untuk serius dengan Tuhan, tidaklah mustahil untuk potensi bangsa ini menjadi pemimpin bangsa lain di dunia ini. Para pemimpin bangsa Melayu mesti tahu bagaimana membina bangsa ini. Inilah bangsa yang mudah dibentuk tapi mudah pula lalai jika dibiarkan tanpa ditegur atau diingatkan. Inilah bangsa yang mudah lupa kata Tun Dr Mahathir. Bangsa Melayu sebenarnya lebih banyak main-main, bersukaria dan berpesta-pesta. Hanya keramaian dan kenduri kendara yang diusahakannya secara sungguh-sungguh. Yang lain tidak semua orang Melayu minat untuk memberi perhatian.

Kita harapkan para pemimpin negara dapat memikirkan hal ini secara serius. Binalah bangsa yang berpotensi ini ke arah berjiwa besar dan bercita-cita tinggi. Mereka mampu pergi sejauh yang kita harapkan.Lihat sahaja pada diri Tun Dr Mahathir. Maksudnya anak bangsa Melayu boleh dididik untuk menjadi seperti beliau. Jiwa besarlah yang mendorong Tun berbuat berbagai inovasi dan cetusan idea hebat. Cita-cita tinggilah yang menjadikan semua yang diinginkan oleh Tun dapat direalisasikan di hadapan mata kita semua. 

Cuma semuanya mestilah bertunjangkan rasa cintakan Tuhan. Binalah anak-anak kita untuk kenal Tuhan pencipta agar mereka menjadi pemimpin membangunkan negara dalam keadaan bertanggung jawab dan insaf dengan amanah dari Tuhan. Semoga Allah menyelamatkan bangsa Melayu dan negara kita. 
 


Catat Ulasan

 
Top