Catatan Puan Nasriah Abdul Salam dalam blognya: KLIK DI SINI

PRAY FOR MH370 - CATATAN SEMINGGU SELEPAS KEMBALI DARIPADA NEW DELHI


1. Genap seminggu selepas saya kembali daripada New Delhi, 5 Mac lepas.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, saya terus telefon emak selepas hubungi suami. Emak baru selesai solat subuh ketika menjawab panggilan saya. Kedengaran emak menangis, hingga saya jadi pelik dan tanya; "Adakah saya ada buat sesuatu yang kecilkan hati emak sepanjang saya di India?"


Emak nafikan dan berkali-kali jawab, "Tiada apa-apa."


Selepas berlaku kehilangan MH370 pada awal 8 Mac 2014, emak hubungi dan kata, "Hari itu, mak menangis sebab sangat gembira anak mak selamat sampai. Mak takut berlaku macam apa yang berlaku sekarang."


Hati seorang ibu. Hari ini, kita tidak tahu berapa banyak hati ibu yang tersayat dengan kehilangan MH370 secara langsung atau tidak. Kita tidak tahu berapa banyak hati ibu yang berharap masa boleh diundur agar mereka boleh menggantikan tempat duduk anak mereka dalam pesawat itu.

 
2. Dalam Buletin Utama pada 10 Mac 2013, Kapten Norudin Abd Majid menyeru semua berdoa, khususnya ahli keluarga penumpang MH370 kerana mereka lebih beremosi (orang yang beremosi dan terkesan secara langsung dengan sesuatu masalah lazimnya meminta dengan bersungguh-sungguh).


Dalam MHI pada pagi 11 Mac 2014, beliau sekali lagi menyeru ahli keluarga berdoa bersungguh-sungguh dengan merendah diri kepada Allah serta memperbanyakkan taubat. Beliau mengingatkan semua, jangan terlalu taksub dengan teknologi kerana teknologi ialah makhluk, hakikatnya ada Allah di belakang sains dan teknologi.


Moga ada seorang kaunselor seperti Kapten Norudin Abd Majid ditempatkan di Hotel Everly. Seorang sahaja, dah cukup.

 
3. Kenyataan pihak atasan yang bercanggah mengenai perkembangan pencarian pesawat MH370. Media barat yang menangguk di air keruh. Pertanyaan demi pertanyaan jurnalis dalam sidang akhbar demi sidang akhbar yang semakin membibit banyak pertanyaan lain.


Buka mata setiap pagi, saya hanya ada dua doa. Satu, doa moga MH370 ditemui dan semua penumpangnya selamat. Dua, doa kalau Allah tak terima doa saya, moga Allah terima doa hamba-hamba-Nya yang soleh yang mempunyai doa yang serupa.


Teruskan berdoa, kawan. Rancangan manusia adakalanya berkadaran songsang dengan ketentuan Allah.

Catat Ulasan

 
Top